Polis Kelantan edar fotofit kes bunuh pemandu teksi

Bernama
Disember 29, 2015 12:02 MYT
Ini adalah otofit suspek dalam kes pembunuhan seorang pemandu teksi di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor, yang diedarkan polis. - Foto Bernama
Polis mengedarkan fotofit suspek dalam pembunuhan seorang pemandu teksi di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor di sini semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata polis meminta kerjasama daripada masyarakat bagi menjejaki suspek dalam kes bunuh itu.
"Kami meminta orang ramai yang mempunyai matlumat berkaitan suspek tampil membuat laporan kepada polis.
"Siasatan awal kami mendapati suspek adalah seorang lelaki yang mempunyai kulit gelap dan berbadan kurus, berusia antara 20-an dan 30-an," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang semalam, Sudin Awang, 67, dari Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh, mati ditikam seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika dia berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Mazlan berkata siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan polis sedang menyiasat motif pembunuhan itu.
#fotofit #kes tembak pemandu teksi #suspek