Polis Kelantan buka kertas siasatan kesahihan pameran artifak Rasulullah
Bernama
November 11, 2020 21:19 MYT
November 11, 2020 21:19 MYT
PASIR PUTEH: Polis Kelantan membuka kertas siasatan berhubung kesahihan pameran artifak Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda yang dianjurkan selama dua minggu berakhir semalam, di Madrasah Ribat AL-Mustafa, Pulai Chondong, dekat sini.
Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata ia susulan polis menerima dua laporan yang dibuat di luar Kelantan yang meminta polis membuat siasatan tentang kesahihannya.
"Siasatan dibuka mengikut Seksyen 465 atau 471 Kanun Keseksaan (KK) yang juga disiasat oleh pihak berkuasa agama negeri," katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lokasi sekatan jalan raya di Kampung Pacakan di sini, hari ini.
Semalam Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) Datuk Che Mohd Rahim Jusuh dilaporkan berkata pihaknya khuatir pameran itu boleh mengelirukan masyarakat Islam mengenai sejarah Rasulullah SAW.
Program itu antara lain mempamerkan rambut, janggut, darah, peluh dan tongkat milik baginda yang kesahihannya belum disahkan oleh pihak berwajib.
Dalam perkembangan lain, Shafien berkata polis sudah siap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku banjir berikutan Jabatan Meterologi Malaysia menjangkakan negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Kelantan akan dilanda hujan lebat bermula November hingga Disember ini.
"Seramai 1,500 anggota polis dan pegawai telah diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi fenomena itu termasuk memindahkan mereka yang terjejas banjir ke pusat pemindahan sementara," katanya.
Bagi memantapkan lagi kesiapsiagaan itu, Shafien berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat dengan ketua-ketua agensi berkaitan pada minggu depan.
-- BERNAMA