Polis kejar 60km sebelum pemandu terjun dari Jambatan Pulau Pinang
Adie Sufian Zulkefli
Disember 10, 2023 17:05 MYT
Disember 10, 2023 17:05 MYT
SUNGAI PETANI: Polis terpaksa mengejar sebuah kereta dari Bakar Arang, Sungai Petani sejauh kira-kira 60 kilometer (km) sebelum memberkas dua suspek di Jambatan Pulau Pinang di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, seorang daripada suspek juga sempat terjun ke dalam laut dari atas jambatan berkenaan sebelum diselamatkan nelayan dan diserahkan kepada polis.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki berusia 20-an dan 40-an itu merupakan suspek dikehendaki oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang kerana dipercayai terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.
“Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) ternampak sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan di Kawasan Perindustrian Ringan di Bakar Arang kira-kira pukul 1.30 pagi.
“Susulan itu anggota cuba menahan kereta terbabit untuk membuat pemeriksaan namun pemandunya memecut laju memasuki laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan.
“Dua MPV mengejar kenderaan terbabit yang kemudian menaiki Jambatan Pulau Pinang untuk meloloskan diri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Zaidy berkata, unit MPV itu meminta bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk menahan suspek, namun kenderaan itu dikesan berpatah balik menggunakan jambatan untuk ke tanah besar.
Katanya, kereta yang dipandu dalam keadaan melulu itu kemudian terlibat kemalangan kira-kira pukul 3 pagi dengan sebuah kenderaan lain di atas jambatan sebelum pemandunya terjun ke dalam laut.
“Suspek bagaimanapun diselamatkan oleh nelayan, manakala rakannya ditahan di dalam kereta terbabit.
“Pemeriksaan di dalam kereta tidak menemukan apa-apa barang terlarang atau senjata berbahaya,” katanya.