Polis Kedah tumpaskan sindiket eksploitasi manusia dijadikan pengemis
Adie Sufian Zulkefli
April 2, 2023 08:45 MYT
April 2, 2023 08:45 MYT
ALOR SETAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah menumpaskan sindiket mengeksploitasi manusia dijadikan pengemis di Alor Setar.
Kejayaan itu dilakukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, selepas menahan sebuah kereta di Jalan Tunku Ibrahim, di sini, jam 10 malam tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pemeriksaan di dalam kereta terbabit menemui tiga lelaki orang kurang upaya (OKU) warga Kemboja yang dipaksa mengemis.
“Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga lelaki berusia antara 45 hingga 47 tahun dipercayai mangsa kegiatan itu.
“Kereta itu dipandu seorang lelaki berstatus pemastautin tetap dipercayai menetap di Ulu Tiram, Johor dan tiga mangsa OKU terbabit dibawa dari Perkampungan Masyarakat Kemboja Ulu Tiram Johor sepuluh hari lalu oleh suspek bagi tujuan mengemis di bazar sekitar bandaraya Alor Setar,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurut Wan Hassan, polis turut merampas satu beg silang berwarna hitam mengandungi sejumlah wang RM1,020 yang disyaki hasil aktiviti mengemis oleh mangsa.
Katanya, turut ditemui sebuah buku catatan mengandungi senarai pasar malam di negeri ini, telefon bimbit dan passport.
Wan Hassan berkata, suspek dan kesemua mangsa di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.