Polis Kedah tingkatkan pemantauan ke atas kilang
Adie Sufian Zulkefli
Jun 30, 2021 10:32 MYT
Jun 30, 2021 10:32 MYT
SUNGAI PETANI: Polis Kedah tidak akan berkompromi dengan pemilik kilang yang didapati melanggari dan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketegasan polis terpaksa dilakukan susulan bilangan kluster baharu yang wujud setiap hari terutama kawasan industri di negeri itu.
Menurut beliau, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemilik kilang yang beroperasi tanpa mendapat kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Katanya, ini ekoran bilangan kes tertinggi jangkitan COVID-19 berpunca di kilang sehingga mewujudkan lebih lapan kluster baharu di negeri itu.
"Ada setengah kilang tu dia beroperasi di bahagian depan adalah kilang barangan keperluan asas tetapi belakang dia buat benda-benda yang tidak dibenarkan oleh MITI dan sebagainya bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Sebanyak 280 pasukan telah kita tubuhkan untuk mengempur mana-mana kilang yang tidak mematuhi peraturan dalam masa terdekat kita akan membuat serbuan ke atas kilang-kilang yang tidak mematuhi peraturan-peraturan dan melanggar SOP," katanya selepas melakukan pemeriksaan mengejut di tiga kilang di Sungai Petani.
Dalam operasi itu dua buah kilang dikompaun RM10,000 setiap satu kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak melakukan penandaan pelekat pada bahagian surau dan tandas.
Kilang terbabit dikompaun mengikut Peraturan 17(1) Peraturan Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) No 4 2021.
Bermula 1 Jun, sebanyak 114 buah kilang telah diperiksa ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP).
Daripada jumlah itu, 17 kompaun dikeluarkan manakala dua kertas siasatan telah buka dan dituduh di mahkamah.
"Apa yang penting sekarang ini pihak pengusaha atau pemilik kilang mematuhi arahan kerajaan. Jika kilang tersebut bukannya yang sepatutnya dibuka yang boleh beroperasi tolong jangan beroperasi dalam keadaan kritikal sekarang ini.
"Kalau kita dapat sama-sama berkerjasama insyaAllah keadaan COVID-19 dalam negara kita akan turun daripada PPN Fasa 1 kepada PPN Fasa 2 dan seterusnya akan menjadi bertambah baik," tambahnya lagi.