Polis Kedah pantau terminal bas sempena Tahun Baru Cina

Adie Sufian Zulkefli
Februari 6, 2021 12:29 MYT
Adzli berkata, pihak berkuasa akan memastikan penumpang mempunyai surat kebenaran sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Menjelang cuti perayaan Tahun Baru Cina akan datang, polis Kedah bertindak meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan bas ekspres di Terminal Bas Sungai Petani.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata, pihaknya mengetahui ada individu yang akan menggunakan bas sebagai cara selamat pulang ke kampung sempena cuti panjang ini.
Susulan itu, anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditempatkan di terminal bas bagi memeriksa penumpang.
Jelasnya, penumpang akan dipastikan mempunyai surat kebenaran polis sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan dan sekiranya tiada, mereka akan terus dikompaun dan diarah patah balik.
"Kita bukan sahaja akan memeriksa bas, penumpang, malah pengusaha dan penjual tiket juga. Saya diberitahu, memang mereka tidak akan menjual tiket bas tanpa surat rentas daerah.
"Pemantauan kita juga mendapati, bas sentiasa disanitasi dan tiket tidak dijual mengikut kapasiti penuh, iaitu 30 orang sahaja satu bas.
"Apa yang kita dapati, sekarang ini, purata penumpang satu hari adalah lebih kurang 15 hingga 20 orang sahaja," katanya.
Adzli berkata demikian ketika ditemui sewaktu melakukan pemeriksaan di Terminal Bas Sungai Petani malam tadi.
Turut sama, Ketua Cawangan JPJ Sungai Petani, Abdul Jalil Mat Lazim.
Menurut Adzli, setakat ini. pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas 646 penumpang dari 46 bas ekspres sejak 19 Januari lalu.
Selain itu, warga asing yang mempunyai dokumen diri lengkap dan surat kebenaran polis dibenarkan menaiki bas ekspres menuju ke destinasi mereka.
Katanya, polis akan meneruskan kerjasama dengan JPJ bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan.
#CNY #cuti #bas #terminal bas #Kedah #polis #Tahun Baru Cina #Sungai Petani #JPJ #Adzli Abu Shah #surat kebenaran #rentas negeri #rentas daerah #kompaun #warga asing #kaunter tiket #penjual tiket #tiket bas #patah balik #penumpang
;