Polis Kedah pantau semua madrasah dan masjid bagi elak ajaran pelampau

Astro Awani
Januari 20, 2015 05:41 MYT
ZAMRI: Pihak polis akan melihat secara telus sebarang aktiviti mahupun kegiatan yang dilakukan di madrasah.
Polis Kedah akan memantau rapat semua madrasah di negeri itu termasuk sebarang aktiviti dan kegiatan yang dilakukan di madrasah.
Ia sebagai langkah awal supaya ideologi militan tidak dipupuk dan bertapak.
Ketegasan itu disuarakan oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya yang memaklumkan pihaknya sedang memantau setiap madrasah dan masjid di negeri itu.
Ia susulan daripada tersebarnya video “THE JIHADIST IN OUR FAMILY” yang memaparkan temubual seorang tenaga pengajar di madrasah yang menyarankan pengikutnya ke Syria untuk berjuang bersama militan.
Menurut Zamri, pihaknya akan melihat secara telus sebarang aktiviti mahupun kegiatan yang dilakukan di madrasah.
Malah, tindakan akan dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang dikenalpasti terlibat dalam aktiviti militan.
“Pihak polis Kedah secara berterusan akan terus memantau sebarang aktiviti di madrasah atau pun masjid-masjid yang berkemungkinan cenderung untuk mempromosikan fahaman militan antaranya berfahaman Islamic State (IS) yang berpusat di Syria.”
Beliau menambah tindakan yang sewajarnya akan diambil malah akan dirujuk dari segi undang-undang.
“Ini untuk mencegah dan menangkap orang yang terlibat mempromosikan fahaman sedemikian dan kita juga akan bersama dengan pihak Majlis Agama Islam Kedah bagi tindakan bersepadu dalam menangani perkara ini.
Kita minta semua pihak terutama ibu bapa supaya melaporkan pada pihak polis jika sebarang kegiatan ahli keluarga mereka yang cenderung ke arah kegiatan-kegiatan militan yang sedemikian.”
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kereta Peronda Polis MPV Kontinjen Kedah di IPK Kota Setar, Kedah, siang tadi.
Sebanyak 37 buah kereta peronda termasuk enam kereta jenis Nissan Navara diserahkan kepada setiap IPD di negeri ini.
Sementara itu, Zamri juga menggesa setiap agensi terutamanya pihak Majlis Agama Islam Kedah untuk bersama-sama memantau aktiviti tersebut daripada terus berleluasa.
Difahamkan, Madrasah Nurul Hidayah di Kuala Ketil, Kedah diasaskan bersama salah seorang bekas ahli politik, Mohd Lofti Ariffin yang meninggal dunia tahun lalu bersama pergerakan negara Islam Iraq dan Levant (ISIS) di Syria.
Video yang memaparkan Madrasah Nurul Hidayah itu turut menceritakan pengalaman Lofti yang dikatakan seorang mujahid.
Malah, temubual salah seorang saudara Lofti yang juga tenaga pengajar di madrasah itu juga menyarankan agar pelajarnya mengambil contoh daripada perjuangan Lofti itu.
Bagaimanapun, Zamri menegaskan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran pelampau yang boleh mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keselamatan negara.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin berkata pihak polis akan memantau rapat semua madrasah di negara ini termasuk Madrasah Nurul Hidayah yang diasaskan oleh bekas ahli PAS Kedah, Mohd Lofti Ariffin.
Beliau turut berkata selain madrasah, entiti-entiti lain serta sebarang individu yang terlibat akan dipantau sekiranya didapati menghasut orang ramai supaya menyertai perang di Syria.
#ISIS #Ketua Polis Kedah #madrasah