Polis Kedah pantau masjid, bazar sepanjang Ramadan

Adie Sufian Zulkefli
April 13, 2021 11:32 MYT
Semua pihak harus digesa berdisiplin dengan mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan MKN. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Polis Kedah akan menempatkan anggota di masjid dan bazar Ramadan di seluruh negeri ini bagi memantau tahap kepatuhan prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, secara keseluruhannya hampir semua masjid dan surau mematuhi ketika solat Tarawih malam tadi, seperti bilangan jemaah tidak melebihi kapasiti masjid, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan tanda penjarakan sosial di tempat solat selain memeriksa suhu badan dan pendaftaraan.
Katanya, semua pihak harus berdisiplin dengan mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) walaupun negeri Kedah berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Justeru semua pihak harus bersyukur kerana kebanyakan masjid dan surau sudah mula dibuka untuk solat fardu, Jumaat, Tarawih dan majlis ilmu lain dibenarkan dan haruslah sama-sama mengekang penularan pandemik COVID-19 ini.
"MKN sudah keluarkan SOP di mana para jemaah di masjid harus mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.
"Peranan setiap individu itu penting bagi mengekang penularan virus COVID-19 ini. Sudah setahun lebih kita berdepan virus ini yang kita sendiri tidak nampak. Jadi kita harus memainkan peranan masing-masing," katanya.
Dalam pada itu, Hasanuddin memaklumkan anggotanya akan mula memantau bazar Ramadan di setiap daerah kerana lokasi ini dipercayai menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa.
Jelasnya, peniaga serta pengunjung haruslah mendisiplinkan diri dengan memastikan kawasan tidak berasak-asak sehingga berlakunya sentuhan di kawasan bazar.
Beliau menasihati pengunjung untuk terus pulang selepas membeli makanan serta mengelakkan jangka masa lama berada di kawasan bazar.
#COVID-19 #PKPB #Kedah #masjid #Bazar Ramadan #SOP #Hasanuddin Hassan #tarawih
;