Polis Kedah buru 86 individu
Adie Sufian Zulkefli
November 8, 2017 17:57 MYT
November 8, 2017 17:57 MYT
Polis Kontinjen Kedah hari ini memburu 86 individu dikehendaki yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah sejak 2007 hingga kini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash berkata kesemua suspek termasuk dua wanita itu berusia 20 hingga 50 tahun.
Menurutnya, daripada jumlah itu, empat individu membabitkan seorang warga Bangladesh dikenali sebagai Abul Kashem serta tiga rakyat tempatan, S. Nadrajan, S. Muniyapan dan K. Soranamurti yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh.
"Kes jenayah lain membabitkan keganasan seksual sebanyak 24 individu, mendatangkan kecederaan (14), samun (20), kekerasan (5), harta benda (16) dan masing-masing satu kes bagi curi, pemerdagangan manusia dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, polis turut merampas 661 mesin judi dan wang tunai berjumlah lebih RM240,000 hasil 1,694 serbuan yang dilakukan menerusi Ops Dadu, sejak awal tahun ini.
Mengulas lanjut, Mior berkata, melalui mesyuarat pasukan petugas khas pemantauan lesen hiburan peringkat negeri, pihaknya memutuskan untuk meminda Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Kedah 1997 bagi memantapkan penguatkuasaan serta membendung kegiatan judi di negeri ini.
#Bangladesh
#individu dikehendaki
#jenayah
#Kedah
#keganasan
#Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah
#Mior Farid Al Atrash
#polis
#Polis Kedah
#rakyat
#samun
#wanted