Polis Kedah buat 'kejutan', saman anggota tidak patuh undang-undang

Hakim Rahman
Mac 15, 2021 16:50 MYT
"Kita penguat kuasa, kita hendaklah satu langkah di hadapan orang awam, maksudnya kita kena patuh pada undang-undang," kata Ketua Polis Kedah Datuk Hasanudin Hassan. - Foto Facebook PDRM Kedah
KUALA LUMPUR: Anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menerima "kejutan" selepas mereka diperiksa dan disaman dalam pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard serta Cawangan Khas IPK Kedah yang membuat pemeriksaan di pintu masuk IPK itu.
Menurut Laman Facebook Polis Kedah, beberapa kenderaan milik pegawai dan anggota serta kakitangan awam telah disaman kerana melanggar undang-undang jalan raya seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Antara pemeriksaan yang dilakukan adalah pemeriksaan dokumen sulit, pemeriksaan kenderaan dan pemeriksaan pas keselamatan.

POLIS SAMAN POLIS Pagi ini Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard serta...

Posted by Polis Kedah on Sunday, 14 March 2021
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, operasi itu sebagai memberi peringatan kepada anak buahnya bahawa mereka juga mesti mematuhi undang-undang.
"Dari semasa ke semasa kita periksa. Bukan nak cari kesalahan, tapi untuk menentukan pegawai juga perlu mengikut undang-undang seperti mana orang lain juga.
"Kita penguat kuasa, kita hendaklah satu langkah di hadapan orang awam, maksudnya kita kena patuh pada undang-undang," katanya.
Hasanuddin, yang pernah menjadi Ketua Polis Kelantan sebelum berpindah ke Kedah tahun lalu, mengatakan bahawa dia pernah melakukan operasi serupa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
#Facebook #Kedah #polis #keselamatan #integriti #undang-undang #operasi #polis saman polis #Polis Kedah #Ketua Polis Kedah #Hasanuddin Hassan
;