Polis Kedah banteras judi habis-habisan
Adie Sufian Zulkefli
Julai 26, 2022 09:45 MYT
Julai 26, 2022 09:45 MYT
ALOR SETAR: Sindiket judi kini dikesan menukar operasi mereka melalui telefon pintar dan tablet selepas tindakan agresif pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu premis judi di seluruh negeri.
Malah, PDRM sudah mengambil tindakan terhadap beberapa dalang sindiket perjudian dan ada juga yang masih diburu selepas dikesan mendalangi kegiatan haram berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, polis memerangi sindiket ini habis-habisan di mana terbaharu tiga daerah iaitu Alor Setar, Sik dan Kulim digempur kerana menjadi tumpuan kegiatan judi haram itu.
Dalam serbuan dilakukan mendapati kebanyakan premis menjual tambah nilai permainan judi atas talian dengan berselindung di sebalik perniagaan 'bundle'.
"MO memang sentiasa bertukar nak mengelak daripada ditangkap tetapi kita ada kaedah kita sama ada daripada risikan dan juga trend semasa dan maknanya kita akan perhebatkan usaha.
"Dia tukar MO macam mana pun insyaaAllah kita akan ada kaedah menjejak mengesan dan melakukan serbuan dan ini saya janji akan dibuat secara berterusan dan akan diperhebatkan dari masa ke semasa," katanya.
Mohd Roze berkata, sepanjang tahun ini bermula 1 Januari hingga 24 Julai, sebanyak 1,147 serbuan dilakukan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah yang membabitkan pelbagai kesalahan judi.
Beliau berkata, bagi mengekang aktiviti ini terus beroperasi pihaknya telah berkerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan memotong bekalan elektrik di premis yang diserbu.
Katanya, fokus PDRM kini adalah memastikan premis judi haram ditutup sepenuhnya selain turut memberi tumpuan terhadap modus operandi baharu.
"631 serbuan berjaya bagi judi atas talian sementara bagi 'calling centre' ekor haram serbuan berjaya kita adalah sebanyak 497 serbuan begitu juga judi dalam bangunan.
"Kita juga ada buat operasi iaitu serbuan berjaya sebanyak 13 manakala bagi judi luar bangunan serbuan berjaya sebanyak enam," katanya.