Polis jumpa senjata api pemburu haram dibuang dalam sungai

Muhafandi Muhamad
Mac 8, 2021 21:16 MYT
Senapang patah, AK47 dan pistol itu dipercayai dibuang oleh dua suspek ke dalam sungai berkenaan untuk melupuskan bukti kegiatan pemburuan mereka. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA BHARU: Polis menemui dua laras senapang dan sepucuk pistol yang dibuang pemburu haram ke dalam Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Ibrahim Ali dekat Tendong, Pasir Mas.
Senapang patah, AK47 dan pistol itu dipercayai dibuang oleh dua suspek ke dalam sungai berkenaan untuk melupuskan bukti kegiatan pemburuan mereka.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, senjata api itu ditemui pada Jumaat hasil bantuan Unit Selam Skuba Pasukan Polis Marin (PPM).
Katanya, sebelum itu, polis telah menahan lima lelaki berusia antara 30 hingga 59 tahun yang dipercayai memiliki senjata api secara haram dalam beberapa serbuan berasingan di Gua Musang, Machang dan Pasir Mas.
"Siasatan kita mendapati kumpulan ini cuba untuk menghilangkan barang-barang kes. Jadi pihak polis dengan Unit Selam Skuba PPM Kuantan telah membuat pencarian di kawasan berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.
Shafien berkata, siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai memiliki senjata api untuk tujuan kegunaan sendiri, termasuk memburu secara haram.
Tambahnya, semua suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960.
#pemburu haram #senjata api #ak47 #dibuang dalam sungai #Polis Kelantan #Jumpa #PPM #unit skuba #hapus bukti
;