Polis jumpa ratusan peluru, pistol dan bom tangan aktif sewaktu serbu makmal dadah

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 11, 2019 13:38 MYT
Rumah berkenaan telah ditinggalkan oleh penyewanya kira-kira enam bulan sebelum serbuan dibuat. - Foto Astro Awani
Polis Pulau Pinang menemui 349 butir peluru, beberapa pucuk pistol dan bom tangan M61 yang masih aktif di sebuah rumah dua tingkat dekat Taman Bukit, Bukit Mertajam pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pemeriksaan itu dibuat susulan serbuan pertama Disember tahun lepas di rumah yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah.
Menurutnya, rumah berkenaan telah ditinggalkan oleh penyewanya kira-kira enam bulan sebelum serbuan dibuat.
"Pada 2 Disember, polis mengadakan pemeriksaan di rumah yang ditinggalkan penyewa kira-kira enam bulan dan berjaya menemui sejumlah pil ecstasy dan peralatan memproses dadah dengan jumlah rampasan lebih RM700,000.
“Polis sekali lagi pergi ke rumah itu untuk siasatan lanjut kira- kira jam 2.30 petang Ahad dan terkejut apabila menemui butir peluru, pistol dan bom tangan yang masih lagi aktif,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Polis kemudian menghubungi Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang (IPK) untuk tindakan selanjutnya.
“Kesemua barangan yang dijumpai dibawa ke Stor Simpanan Cawangan Persenjataan IPK untuk disimpan dan bom pula akan dimusnahkan esok (Selasa),” katanya.
Menurut Nik Ros Azhan, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mempunyai 16 rekod kesalahan berkaitan dadah bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
#bom tangan #Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid #polis pulau pinang #Seberang Perai #senjata api #Temui pistol
;