Polis jumpa mayat wanita warga emas terbaring dalam longkang

Astro Awani
Jun 4, 2020 07:50 MYT
Pihak forensik tidak menemui sebarang kecederaan ke atas tubuh mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 76 tahun itu. - ASTRO AWANI
Polis menemui mayat wanita warga emas terbaring di dalam longkang di Jalan SR 8/6, Serdang Raya, pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyatakan terhidu bau busuk di dalam longkang di hadapan rumah dan menemui mayat di situ.
Siasatan mendapati, mayat merupakan seorang wanita berusia 76 tahun dan pihak forensik mendapati tiada sebarang kecederaan ke atas tubuh mangsa.
Tambahnya, tiada sebarang senjata juga ditemui di tempat kejadian.
Siasatan lanjut mendapati, pada 28 Mei lalu, keluarga mangsa ada membuat laporan polis berkenaan wanita itu yang keluar rumah dan tidak pulang kemudiannya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk ujian saringan COVID-19 dan bedah siasat.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat.
Bedah siasat akan dibuat hari ini selepas ujian saringan COVID-19 diperolehi.
#bau busuk #bedah siasat #cedera #forensik #Hospital #Ismadi Borhan #longkang #mangsa #mati #mati mengejut #mayat #orang hilang #polis #Serdang #Serdang Raya #siasatan #wanita #warga emas
;