Polis jumpa iPhone dekat mayat lelaki di Pulau Tioman

Bernama
Jun 5, 2014 07:35 MYT
Polis jumpa iPhone dekat mayat lelaki di Pulau Tioman
Polis hari ini menjumpai sebuah telefon bimbit iPhone dipercayai milik lelaki yang mayatnya ditemui berdekatan sebuah chalet di Kampung Juara, Pulau Tioman semalam.
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata polis masih meneruskan operasi di kawasan mayat dijumpai bagi mencari bahan bukti untuk membantu siasatan, termasuk dokumen pengenalan diri yang belum ditemui setakat ini.
"Polis juga hingga kini masih belum dapat mengesahkan mayat lelaki berkenaan adalah Gareth David Huntley, lelaki warga British yang hilang 27 Mei lepas kerana siasatan masih dilakukan.
"Bagaimanapun, kita telah mengambil sampel DNA ibu Huntley, Janet Southwell, bagi membantu siasatan.
"Sampel berkenaan akan dihantar ke makmal di Petaling Jaya dan keputusan dijangka dikeluarkan dalam masa dua hari," katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Sharifuddin berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan ditemui pada anggota badan mayat dan menolak unsur jenayah sebagai punca kematian.
Bagaimanapun, beliau berkata Southwell akan berada di Kuantan beberapa hari lagi bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Southwell tiba di Jabatan Forensik HTAA pada 11 pagi bersama-sama Naib Konsul Pesuruhjaya Tinggi British Karen Song dan teman wanita Huntley iaitu Kit Natariga Panyawatcharakun dengan helikopter bagi mengecam mayat itu.
Mayat itu ditemui pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam di tepi sungai, kurang 500 meter dari chalet penginapan Gareth di Pusat Perlindungan Penyu Kampung Juara.
Gareth merupakan sukarelawan pusat perlindungan penyu itu dan dilaporkan hilang pada 27 Mei lepas ketika dikatakan mahu ke Air Terjun Lubuk Teja berseorangan.
#Gareth David Huntley #Pulau Tioman
;