Polis Johor tumpaskan sindiket pengedaran dadah, RM1.2 juta dadah dirampas

Shahrul Hassan
Februari 25, 2018 09:36 MYT
Dadah yang dirampas, 12.8kg disyaki syabu, 4,333 pil disyaki ekstasi, 200 pil disyaki Eramin 5 bernilai RM1.2 juta. - Foto Astro AWANI/Shahrul Hassan
Polis Johor berjaya melumpuhkan kumpulan sindiket pengedaran dadah menerusi penahanan 14 individu dengan rampasan pelbagai jenis dadah yang keseluruhannya bernilai RM1.2 juta dalam empat serbuan berasingan di sekitar Taman Johor.
Dalam serbuan pada 23 Februari lepas, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik Bukit Aman (Sting) bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Johor dan Singapore Central Narcotics Bureau menahan 14 individu tempatan dan warga asing berusia antara 19 hingga 65 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, tujuh lelaki tempatan, lima lelaki warganegara Singapura, seorang wanita warganegara Thailand dan seorang wanita warganegara Singapura, ditahan dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah.
"Dadah yang dirampas, 12.8kg disyaki syabu, 4,333 pil disyaki ekstasi, 200 pil disyaki Eramin 5 bernilai RM1.2 juta.
"Polis turut menyita lima buah kenderaan, wang tunai, jam berjenama dan barang kemas berjumlah RM423,000," katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Mohd Khalil berkata kumpulan berkenaan mula aktif beroperasi sejak awal tahun ini dan dadah tersebut dipercayai untuk pasaran seluruh Malaysia dan Singapura.
Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 Mac dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan saringan air kencing mendapati kesemua positif selain lima antara mereka mempunyia rekod lampau narkotik dan jenayah.
#ekstasi #Eramin 5 #Mohd Khalil Kader Mohd #polis #rampasan #sindiket dadah #Syabu