Polis Johor tumpaskan sindiket edar syabu dan ketamin RM1.9 juta

Aiman Hakeem Awazmin
Januari 26, 2022 15:06 MYT
Kamarul (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu dan ketamin yang dirampas bernilai RM1.9 juta dengan penahanan dua lelaki tempatan menerusi Op Tapis di Kempas dan Nusa Bestari ketika sidang media di IPK Johor Bahru hari ini. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya dua lelaki tempatan bersama syabu dan ketamin berjumlah RM1.9 juta, Ahad lalu.
Tangkapan itu dibuat hasil Op Tapis yang dijalankan antara Jumaat hingga Ahad yang berjaya menahan 512 warga tempatan dan warga asing antara 20 hingga 50 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan pertama pada jam 4 petang Ahad itu berjaya menahan seorang suspek 34 tahun dalam kenderaan di sebuah tempat letak kereta di Kempas dan merampas sejumlah dadah.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu seorang lagi suspek berusia 31 tahun ditahan di sebuah rumah di Nusa Bestari.
“Serbuan kita berjaya menangkap satu lelaki warga tempatan yang berumur 34 tahun di Kempas dan bersama mereka telah dirampas sebanyak syabu 4.06 kilogram dan ketamin 1.10 kilogram yang berada dalam sebuah kenderaan.
“Seterusnya setelah siasatan lanjut diteruskan JSJN, serbuan menahan seorang lagi berusia 31 tahun, juga warga tempatan dan hasil serbuan tersebut telah berjaya merampas pada mula 220 gram dadah jenis ais dan seterusnya merampas 37.5 kilogram dadah syabu dan 6.1 kilogram dadah jenis ketamin yang diletakkan di dalam kenderaan di kawasan rumah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, pada Rabu.
Kamarul Zaman berkata, keseluruhan jumlah rampasan itu membabitkan 41.78 kilogram syabu bernilai lebih RM1.50 juta dan 7.11 kilogram ketamin bernilai RM391,215.
Katanya, jika semua dadah itu terlepas di pasaran, ia boleh dibekalkan kepada hampir 250,000 penagih.
Turut dirampas dalam serbuan itu adalah lima kereta, wang tunai RM1,500 dan pelbagai barang kemas.
Menurut beliau, kegiatan sindiket itu sudah dipantau sejak tahun lalu dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket-sindiket lain yang pernah ditumpaskan sebelum ini.
Kedua-dua suspek lelaki itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Kamarul Zaman lagi, pihaknya akan melaksanakan Op Tapis dari semasa ke semasa bagi memastikan Johor bebas daripada dadah.
#polis johor #edar dadah #Kamarul Zaman Mamat #sindiket
;