Polis Johor tahan 10 individu, rampas dadah bernilai lebih RM1 juta
Astro Awani
September 17, 2021 15:15 MYT
September 17, 2021 15:15 MYT
JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan merampas dadah bernilai RM1.03 juta dengan penahanan 10 individu dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada Rabu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi serbuan yang dijalankan, polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan merampas sejumlah dadah dan peralatan memproses dadah.
Katanya, susulan dari penahanan tersebut, tujuh lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 20 hingga 34 tahun telah ditahan menerusi enam serbuan berasingan.
Hasil saringan urin mendapati kesemua suspek negatif dadah dan lima mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Hasil siasatan mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak sebulan yang lepas dan dadah yang diproses akan diedarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Modus operandi yang dijalankan oleh sindiket ini adalah dengan dengan menyewa rumah gated and guarded (yang berpagar dan dikawal) untuk dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah dan memproses dadah untuk pasaran tempatan dan juga pasaran luar negara.
“Sindiket ini telah beroperasi sejak lebih kurang sebulan yang lepas. Dalam serbuan operasi ini, pihak polis telah berjaya merampas 25.2 kilogram (kg) heroin bernilai RM336,000 dan 14kg serbuk ekstasi bernilai RM700,000 dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah adalah RM1 juta,” ujar beliau.
Ayob berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Ayob berkata, seorang suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala sembilan yang lain disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya 1985.
Menurutnya, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 172,666 penagih.
Sejak 1 Januari hingga 15 September lalu, Polis Johor telah menahan seramai 9,363 orang atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan merampas dadah sebanyak 10.95 juta tan bernilai RM352.45 juta.