Polis Johor sita dadah hampir RM200 juta, rampasan terbesar dalam sejarah
Ernalisa Othman
Januari 17, 2021 16:30 MYT
Januari 17, 2021 16:30 MYT
JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan sindiket antarabangsa dan merampas dadah bernilai hampir RM200 juta yang menjadi rampasan terbesar Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kini.
Kejayaan itu hasil serbuan di tiga stor penyimpanan di sekitar bandar raya ini, pada 14 dan 15 Januari lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rampasan itu susulan siasatan terhadap 15 suspek yang ditahan pada 12 Januari lepas yang dipercayai terbabit dalam aktiviti sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah.
Katanya mereka ditahan ketika serbuan pertama ke atas dua makmal yang memproses dadah dan dua stor penyimpanan yang berhasil menemui dadah bernilai RM125.8 juta.
"Hasil siasatan terhadap suspek itu kemudian membolehkan polis menyerbu tiga lagi lokasi yang dijadikan stor penyimpanan dadah iaitu di sebuah kilang di Taman Mount Austin dan dua buah rumah sewa d Taman Setia Indah di sini.
"Dalam serbuan ini, polis menemukan 3.2 tan serbuk ecstasy, 26.1 kilogram (kg) cecair ecstasy dan 117 kg serbuk Erimin 5 yang dianggarkan boleh digunakan kira-kira 11 juta penagih dadah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin.
Dadah | Nilai sitaan RM210 juta
Menurut Ayob Khan, polis turut menyita empat buah kenderaan mewah, wang tunai RM5 juta; mata wang asing RM231,961; barang kemas bernilai RM124,435; tiga utas jam tangan Rolex bernilai RM250,000 selain 62 akaun bank bernilai RM1.23 juta dalam serbuan sama.
"Keseluruhan dadah yang dirampas dan sitaan adalah bernilai RM210.52 juta," katanya.
Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia 34 dan 38 tahun turut ditahan masing-masing pada 14 Januari di Taman Mount Austin dan Taman Gaya, Ulu Tiram semalam kerana dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.
Ayob Khan memberitahu, salah seorang suspek itu adalah mekanik yang dipercayai bertanggungjawab mengubah suai kompartmen kenderaan, bagi menyimpan dadah.
"Sindiket ini beroperasi sejak tahun 2018, dengan menyewa premis kilang dan rumah untuk dijadikan stor penyimpanan dan pemprosesan dadah.
"Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula daripada hari tangkapan untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Ayob Khan menjelaskan, rampasan terbaharu ini menjadikan nilai keseluruhan dadah yang dirampas Polis Johor sejak 12 Januari lepas berjumlah RM341.79 juta.
#sindiket pengedaran dadah
#sitaan
#rampasan dadah terbesar
#PDRM
#polis johor
#Ayob Khan
#makmal dadah
#stor penyimpanan
#Johor Bahru