Polis Johor rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM500,000

Bernama
Januari 23, 2025 15:30 MYT
M. Kumar berkata dua suspek itu ditahan menerusi Op Taring Landai Khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina, hasil risikan berkaitan penjualan mercun dan bahan api tanpa kebenaran. -Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas mercun dan bunga api pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM566,665 susulan penahanan dua lelaki warga tempatan di Muar dan Mersing, pada Selasa.

Ringkasan AI
  • Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor merampas mercun dan bunga api bernilai RM566,665 dan menahan dua lelaki warga tempatan di Muar dan Mersing.
  • Suspek pertama ditahan dengan 319 kotak mercun dan bunga api bernilai RM503,665, manakala suspek kedua ditahan dengan barangan bernilai RM63,000 yang disembunyikan dalam kereta.
  • Suspek kedua juga didakwa cuba merasuah pihak berkuasa dengan wang RM2,500, dan kes ini diserah kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata dua suspek itu ditahan menerusi Op Taring Landai Khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina, hasil risikan berkaitan penjualan mercun dan bahan api tanpa kebenaran.
Suspek berusia 40 tahun ditahan pada 4.30 petang di kawasan perindustrian Parit Hulu, Muar manakala suspek berumur 24 tahun ditangkap di Taman Desa Sri Endau, Mersing pada 10.30 malam.
"Suspek pertama dipercayai penjaga premis yang ditemukan 319 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM503,665 manakala suspek kedua ditahan semasa memandu kereta yang membawa barangan itu dianggarkan berjumlah RM63,000 dengan menyembunyikannya di tempat duduk belakang dan tempat letak barang.
"Kedua-dua suspek gagal mengemukakan lesen pemilikan yang sah terhadap pemilikan barangan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata suspek kedua juga didakwa cuba merasuah pihak berkuasa dengan menawarkan wang RM2,500 semasa proses dokumentasi terhadapnya dilakukan di markas taktikal PPM di Mersing.
Beliau berkata siasatan lanjut berhubung pemilikan mercun dan bunga api dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi dakwaan menawarkan suapan, Kumar berkata kes diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
#Tahun Baharu Cina #Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor #mercun dan bunga api #Op Taring Landai Khas
;