Polis Johor pertikai bukti CCTV pemilik kafe didenda tidak pakai pelitup muka
Hakim Rahman
Januari 23, 2021 13:15 MYT
Januari 23, 2021 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Johor menolak dakwaan tidak ada orang lain di sekitar seorang pemilik kafe di negeri itu ketika dia didenda baru-baru ini kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Menurut seorang pegawai kanan polis Johor yang enggan identitinya didedahkan, sudut rakaman CCTV itu hanya menunjukkan seolah-olah tiada orang lain berhampiran wanita itu sedangkan pihak polis mempunyai perspektif yang berbeza.
Sumber itu turut berkongsi sekeping gambar dengan Astro AWANI yang menunjukkan terdapat seorang lagi wanita berhampiran yang memakai pelitup muka ketika wanita itu mengambil beg dari keretanya.
“Tengok sudut gambar berbeza di lokasi kejadian. Ada orang lain di sekitarnya yang memakai pelitup muka, jadi kenapa dia tidak memakai pelitup muka?
“Klip daripada rakaman CCTV yang ditularkan itu seolah-olah cuba menunjukkan polis mengeluarkan kompaun sesuka hati walaupun hakikatnya ada orang lain berhampirannya yang memakai pelitup muka,” katanya.
Sebelum ini Polis Johor menafikan pemilik kafe itu didenda kerana tidak memakai pelitup muka, walaupun berada di tempat awam yang tidak sesak.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, terdapat individu lain di premis berhampiran kafe itu ketika kejadian namun tidak mengulas lanjut apabila ditanya mengenai rakaman CCTV berkenaan.
Wanita itu kemudiannya mempertikaikan kenyataan itu dan dengan berkongsi rakaman CCTV yang menunjukkan tiada orang di sekelilingnya selain anaknya dan empat anggota polis.
Definisi SOP tidak jelas
Seorang lagi pegawai polis yang dihubungi Astro AWANI menyatakan bahawa prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka di tempat awam berkemungkinan tidak dihuraikan dengan teliti untuk mengelakkan kekeliruan.
Katanya walaupun dalam SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah dinyatakan lokasi yang tidak memerlukan pemakaian pelitup muka tetapi ia tidak dijelaskan secara terperinci.
“Contohnya tidak perlu pakai topeng muka di tempat awam kalau tiada individu lain, tetapi bagaimana kalau ada orang lain yang jauh sedikit? Berapa jauh yang dibenarkan untuk tidak pakai topeng muka? SOP yang kabur ini menyukarkan tugas anggota polis menguatkuasakan undang-undang.
“Apabila denda diberikan ramai pihak yang menuduh polis ingin penuhkan kuota denda sedangkan matlamat kami hanya mahu orang awam patuh kepada undang-undang dan tidak mahu kes meningkat,” kata sumber dengan syarat identitinya tidak didedahkan.
MKN telah mengemaskini SOP am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 21 Januari lalu namun pemeriksaan Astro AWANI mendapati lokasi yang diwajibkan pemakaian pelitup muka masih sama seperti yang dikeluarkan pada Mac tahun lalu.