Polis Johor jejaki 'Boy Setan' bantu kes seludup dadah ke Singapura guna dron
Astro Awani
Jun 22, 2020 16:16 MYT
Jun 22, 2020 16:16 MYT
Seorang suspek warganegara Singapura dicari bagi membantu siasatan kes penghantaran dadah menggunakan dron ke republik itu.
Lelaki berusia 40 tahun itu dipercayai masih berada di Johor berikutan pelaksananaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek yang dikenali dengan nama Boy Setan dipercayai sudah tiga bulan berada di negeri ini.
Menurut beliau, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu pada waktu petang di Dataran Bandaraya Johor Bahru bagi menghantar dadah menggunakan dron ke Keranji, Singapura,
"Suspek warganegara Singapura, dia datang sekali-sekala untuk operasi hantar dadah ke sana (Singapura)... dalam PKPP pergerakannya terhad, dia memang dikehendaki oleh polis Singapura. Ini kali pertama kita (polis Johor) dapat kes seumpaman ini," kata Ayob Khan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Ayon Khan berkata, beliau percaya suspek menggunakan dron kecil berkapasiti kurang 20 kilogram untuk melakukan kegiatan berkenaan.
Ini kerana, kata beliau, penerbangan dron di bawah 20 kilogram tidak perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
Sabtu lalu, dua lelaki ditahan polis Singapura di republik itu kerana menyeludup dadah ke negara jiran itu dari Malaysia.
Data penerbangan yang diambil dari salah seorang suspek menunjukkan pesawat tanpa pemandu itu terbang dari Keranji ke Johor dan kembali semula ke Keranji.
#ayob khan maydin pitchay
#boy setan
#Dadah
#dron
#ketua polis johor
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#Seludup dadah
#Singapura