Polis jejaki pemandu Toyota Alphard pandu secara berbahaya di Lebuhraya Karak
Fareez Azman
Mei 1, 2022 15:18 MYT
Mei 1, 2022 15:18 MYT
KUALA LUMPUR: Polis sedang giat mengesan pemandu kenderaan jenis MPV Toyota Alphard yang memandu secara berbahaya di Lebuhraya Karak arah Genting Sempah yang tular di laman sosial sejak semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, satu laporan polis telah dibuat dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
"Polis Daerah Gombak pada 1 Mei 2022, telah terkesan satu rakaman video berdurasi 2.25 minit di media sosial Facebook yang memaparkan sebuah MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih No. BPV686 yang dipandu secara berbahaya (road bully) di KM 25.1 – KM 27.5 Lebuhraya Karak arah Genting Sempah.
"Dalam video berkenaan, MPV ini telah didapati cuba memotong ‘que’ menggunakan lorong kecemasan dan perbuatan ini telah dirakam menggunakan dashcam (kamera papan pemuka).
"Pemandu MPV ini juga didapati telah menghalang laluan pengadu dengan melakukan brek secara mengejut dan menyerongkan kenderaannya dengan niat provokasi," jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Mengulas lanjut, tambah Zainal Mohamed, pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran kenderaan terbabit mendapati terdapat 56 saman lampau masih belum dijelaskan.
"Satu laporan polis telah dibuat dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan. Pihak Polis meminta pemilik rakaman dashcam tampil ke IPD Gombak untuk memberi keterangan.
"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan atau boleh hubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," jelasnya lagi.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan sekiranya ingkar, tegas Zainal Mohamed, tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa.
Video berdurasi 2.25 minit itu tular di laman sosial sejak semalam memaparkan tindakan pemandu MPV berwarna putih berkenaan cuba memotong sebuah Perodua MyVi menggunakan lorong kecemasan ketika berada dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Karak.
Video terbabit mendapat perhatian netizen yang rata-rata mengecam tindakan pemandu MPV terbabit.