Polis jejaki banduan lelaki lari dari Hospital Kajang
Anthea Yap
Mei 19, 2016 23:17 MYT
Mei 19, 2016 23:17 MYT
Polis sedang menjejaki seorang banduan lelaki tempatan dari Penjara Kajang, yang sedang diberi rawatan di Hospital Kajang, dipercayai telah melarikan diri pada malam ini.
Banduan yang dikenali sebagai Chow Kim Liong, 44, beralamat di Taman Intan Baiduri Kuala Lumpur itu disedari hilang oleh pihak hospital sebelum memaklumkan kejadian kepada polis jam 9.15 malam.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nanyan berkata banduan dari Penjara Kajang itu masih memakai seluar penjara berwarna merah, berbaju T-shirt putih dengan tangan kirinya bersimen.
Beliau berkata banduan itu dipercayai melarikan diri menuju ke ibu negara dengan menaiki bas RapidKL kira-kira pukul 8.10 malam tadi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai banduan berkenaan diminta menghubungi Penjara Kajang dan balai polis berhampiran.
Othman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pihak hospital pada pukul 9.15 malam tadi.
Lelaki berkenaan yang menjalani hukuman mulai Selasa lepas hingga Disember ini ditahan berhubung kes menagih dadah.