Polis jawab isu makan coklat, minta makanan di rumah Najib
Astro Awani
Mei 19, 2018 23:37 MYT
Mei 19, 2018 23:37 MYT
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata jabatan itu akan menyiasat sebarang dakwaan salah laku oleh anggota polis, seperti yang didakwa bekas perdana menteri dan anggota keluarganya awal hari ini.
Dalam satu kenyataan malam ini, Pengarah JSJK, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh memperjelaskan bahawa pada 16 dan 17 Mei lalu, pihaknya telah menggeledah enam premis yang dikaitkan dengan siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, enam ‘pegawai kanan polis’ telah dilantik sebagai ‘Pegawai Lapangan’ sewaktu itu untuk memantau setiap premis.
“Setiap Komander yang bertanggungjawab telah diingatkan oleh saya secara jelas untuk melakukan penggeledahan secara profesional dan paling penting menghormati penghuni di premis terbabit, kerana ia dihuni oleh bekas perdana menteri dan anggota keluarganya.
"Berkaitan dakwaan yang 'ada yang meminta makanan disediakan dan anggota polis menjamah makanan dan coklat dari peti sejuk', saya memohon agar maklumat diberikan, seperti dimanakah kejadian itu berlaku dan mengenal pasti anggota yang didakwa terbabit.
“Saya tidak akan bertoleransi dengan sikap tidak profesional dan tindakan tegas terhadap anggota yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) polis, sekiranya dakwaan itu benar," katanya.
BACA: Najib buat laporan polis, dakwa diancam
BACA: Najib tidak puas hati, dakwa pakaian harian cucu pun dirampas - Peguam
Dakwaan terbabit disampaikan menerusi peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Harpal Singh Grewal.
Mengenai dakwaan oleh Datin Seri Rosmah Mansor, yang dibuat menerusi firma guaman Valen, Oh & Partners, kononnya berlaku ‘kebocoran gambar penggeledahan di media sosial”, Amar memberi jaminan tindakan akan diambil bagi mengelakkannya dari berlaku.
“Saya telah mengarahkan pegawai kami untuk tidak membawa telefon bimbit sewaktu melakukan siasatan, kecuali oleh Komander dan timbalannya dan telefon hanya untuk tujuan berkomunikasi sahaja.
“Gambar dan rakaman video di lokasi juga hanya boleh diambil oleh jurugambar rasmi," katanya lagi.
Polis juga memohon pihak-pihak yang mempunyai maklumat berhubung kebocoran gambar-gambar terbabit untuk tampil membantu siasatan dan sama ada ia datang dari pihak polis atau sebaliknya, kerana “ada terdapat anggota keluarga dan rakan yang berada di situ sewaktu penggeledahan.”
Tambahnya, JSJK sentiasa mensasarkan kecemerlangan dan profesionalisme dalam siasatan mereka, sebarang tingkah laku yang melanggar arahan dan tidak profesional akan diambil tindakan yang tegas.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#Amar Singh Ishar Singh
#coklat
#geledah
#Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
#jenayah
#JSJK
#makan cokelat
#media sosial
#Najib Razak
#Perdana Menteri
#Rosmah Mansor