Polis jamin tiada ruang untuk kegiatan judi, maksiat di Perlis
Bernama
Ogos 15, 2018 14:34 MYT
Ogos 15, 2018 14:34 MYT
Polis memberi jaminan kegiatan judi dalam talian dan terbuka serta maksiat tidak diberi ruang untuk beroperasi di negeri ini, kata Ketua Polis Negeri Datuk Azisman Alias.
Beliau berkata ketegasan pasukan itu menjadikan Perlis bersih daripada sebarang kegiatan itu termasuk judi terancang.
Katanya beliau maklum arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang tegas dalam soal ini dan akan menukar dalam tempoh 24 jam pegawai kanan khususnya Ketua Polis Daerah yang gagal menanganinya.
"Saya sendiri akan mengambil tindakan segera terhadap pegawai dan anggota yang bersekongkol dengan tauke judi atau kegiatan maksiat.
"Jika pegawai dan anggota saya tidak jujur, sayalah yang menanggung kerana ia membabitkan akauntabiliti saya. Jadi, saya akan pastikan mereka melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab," katanya ketika ditemui pada program Sembang-sembang Kopi-O dalam acara High Policing di sini, hari ini.
Azisman berkata program Sembang-sembang Kopi-O yang tidak terhenti akan dipergiatkan semula kerana ia menjadi pentas untuk rakyat menyampaikan aduan yang berkesan sehingga membantu menurunkan jenayah indeks sebanyak 21 peratus pada tahun lepas.
Tanpa menyatakan jumlah kes yang dilaporkan, beliau berkata kes ragut, merempit dan curi telah dapat dikurangkan dengan mendadak sepanjang tahun lepas berikutan hubungan baik masyarakat dengan polis.
Katanya polis akan mengadakan program bersama masyarakat dan lebih kerap turun ke sekolah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mulai sekarang dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.
-- BERNAMA