Polis iringi penghantaran vaksin COVID-19 ke Kelantan
Muhafandi Muhamad
Februari 24, 2021 10:52 MYT
Februari 24, 2021 10:52 MYT
KOTA BHARU: Polis akan memastikan vaksin yang dibawa ke Kelantan melalui perjalanan rentas negeri selamat tiba seperti yang dijadualkan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, bagi memastikan perjalanan membawa vaksin dari ibu negara berjalan lancar, seramai 10 anggota termasuk dua pegawai ditugaskan mengiringi kenderaan yang membawa bahan tersebut.
“Untuk satu tugasan khas, iaitu menentukan vaksin COVID-19 untuk Kelantan dibawa ke sini, kekuatan dua pegawai dan 10 anggota membabitkan empat kenderaan.
“Jadi pagi esok, polis dan pihak berkuasa di Kuala Lumpur akan mengiringi kenderaan khas yang diperuntukan kerjaan untuk bawa vaksin ke Kelantan dan sepanjang perjalanan mereka akan dibantu polis di sempadan,” beliau berkata demikian selepas majlis doa selamat melepaskan konvoi polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bagi mengiringi kenderaan membawa vaksin di sini pagi tadi.
Konvoi berkenaan bergerak ke Kuala Lumpur pagi ini dan akan mengiringi kenderaan membawa vaksin ke Kelantan yang dijangka tiba di sini petang esok.
Jumlah vaksin fasa pertama yang diperuntukan bagi negeri Kelantan tidak dimaklumkan kerana ianya di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Tugas polis, menurut Shafien adalah memastikan perjalanan membawa balik vaksin selamat tanpa gangguan.