Polis henti SAR anggota TDM di Royal Belum
Bernama
Disember 12, 2024 06:15 MYT
Disember 12, 2024 06:15 MYT
IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi anggota tentera yang dipercayai lemas di kawasan Hutan Royal Belum semasa menjalankan tugas gerakan operasi Kota Echo/Foxtrot, 1 Dis lepas.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata operasi mencari Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi, daripada Rejimen Komando ke-22 di Kem Iskandar di Mersing, Johor itu ditamatkan pada 6 petang Khamis.
"Bagaimanapun usaha pencarian diteruskan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya dalam kenyataan.
Pada 3 Dis, Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan kehilangan dua anggotanya semasa melakukan rondaan dalam Operasi Kota Echo/Foxtrot Siri 6/2024, kira-kira jam 8 pagi.
Tujuh anggota yang terlibat ditemukan selamat kira-kira jam 12.30 tengah hari pada hari kejadian, namun Ahmad Zulhmi serta Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin daripada pasukan 21 Komando Kem Sungai Udang, Melaka, hilang.
Bagaimanapun, mayat Mohd Afandi yang berasal dari Matu, Sarawak ditemukan oleh pasukan penyelamat.
-- BERNAMA