Polis akan terus menjalankan siasatan terhadap penemuan beg dipercayai mengandungi bahan letupan yang ditemui di Medan Tuanku pada pagi Khamis yang hanya berisi pakaian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Zainol Samah berkata, siasatan kini lebih kepada tuan punya dan motif beg itu ditinggalkan di lokasi berkenaan.

"Kita teruskan siasatan walaupun beg itu hanya mengandungi pakaian.

"Siasatan kini merangkumi mengenal pasti motif beg pakaian itu ditinggalkan di sana," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, sebuah beg yang ditinggalkan di hadapan sebuah bank di Medan Tuanku mencetuskan suasana panik apabila orang awam menyangkakan beg tersebut berisi bom.

Kejadian disedari kira-kira jam 9.30 pagi oleh pekerja bank berkenaan sebelum memulakan operasi.

Menurut saksi, beg itu ditinggalkan seorang individu yang tidak dikenali.

Dalam pada itu kata Zainol, polis akan terus memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan untuk mengenal pasti suspek yang meninggalkan beg berkenaan.

"Kita sedang melakukan kerja-kerja forensik yang melibatkan cap jari dan perkara berkenaan pemilik beg berkenaan," jelasnya.

Sementara itu, dua letupan yang kedengaran iaitu pada 7.40 malam Khamis diikuti satu lagi letupan lima minit selepas sebelum beg berkenaan dimusnahkan merupakan ujian letupan yang dilakukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB).