Polis gagalkan taktik seludup dadah dalam paket minuman '3-in-1'

Adie Sufian Zulkefli
Februari 18, 2019 18:36 MYT
Memasukkan dadah ke dalam paket minuman coklat sebelum diedar dan dijual di pusat-pusat hiburan sekitar Alor Setar, antara taktik yang digunakan seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah dalam satu serbuan di Taman Sri Puyu, Suka Menanti, pada Ahad.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Superintenden Helmi Aris menjelaskan suspek berusia 30 tahun itu ditahan sekitar jam 9 malam di rumahnya dan pemeriksaan fizikal ke atas suspek tidak menemui sebarang kesalahan.
Namun selepas hasil pemeriksaan lanjut di rumah suspek, pihak polis menjumpai sebuah beg kanvas berzip di atas lantai dan di dalamnya mengandungi dadah jenis ketamin seberat satu kilogram (kg); 10 paket plastik lutsinar pil ecstacy; 25 paket plastik merah jambu dadah syabu dan ketamin (1,067.54 gram); 25 paket plastik ungu bertulis 'Tie Guan Yin' dadah syabu dan ketamin (1,025.01 gram); 50 paket plastik ungu 'Hot Chocolate Drink 3 in 1' dadah syabu dan ketamin (2,135.06 gram) dan satu papan aluminium berisi 10 biji pil eramin 5 seberat 2.73 gram.
"Cuba kaburi mata pihak berkuasa dengan membungkus semula dadah tersebut dalam paket seperti paket minuman 3 in 1, dibungkus dalam paket kecil tertulis berbagai jenama yang kita percayai suspek menggunakan helah untuk elak dari dikesan.
"Dan memudahkan untuk memasarkan barang dadah tersebut di pusat hiburan yang menjadi tumpuan golongan remaja untuk berhibur. Dari maklumat yang diperolehi, paket-paket tersebut dijual dengan harga RM160 sebungkus," katanya kepada pemberita.
Out
Jelas Helmi, nilai keseluruhan rampasan kali ini adalah bernilai hampir RM600,000 termasu sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz C350E.
Menurutnya, kes seumpama ini juga merupakan yang pertama berlaku di Kedah.
Tambah beliau, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai kopi turut didapati positif dadah jenis ketamin dan ditahan reman mulai semalam sehingga 23 Februari ini untuk membantu siasatan..
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#Dadah #Mercedes Benz #minuman coklat #pengedar dadah #pusat hiburan #Suka Menanti #Syabu #Taman Sri Puyu
;