Polis gagalkan cubaan serang acara penutup Sukan SEA, Perbarisan Hari Kebangsaan
Hakim Rahman
September 5, 2017 19:30 MYT
September 5, 2017 19:30 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan cubaan oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang merancang untuk melancarkan serangan semasa Upacara Penutup Sukan SEA 2017 di Bukit Jalil, ibu negara baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata kumpulan terbabit juga mahu mencetuskan huru-hara dengan melancarkan serangan semasa Perbarisan Hari Kebangsaan ke-60 di Dataran Merdeka.
Bagaimanapun bahagian counter terrorism cawangan khas Bukit Aman berjaya menggagalkan rancangan itu dengan penahanan lapan individu terdiri dari dua warga Filipina dan enam warga Malaysia.
"Suspek pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera Filipina, menculik enam tebusan warga Filipina dan penyembelihan seorang tebusan beragama kristian di Selatan Filipina pada tahun 2010,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, suspek warga Filipina terbabit menyusup masuk ke negara ini melalui Sabah dan ada kaitan dengan kumpulan 'Kidnap for Ransom'.
Suspek juga pernah bertemu dengan Dr. Mahmud Ahmad serta beberapa lagi warga Malaysia yang menyertai kumpulan Abu Sayyaf sejak 2014 di Basilan.
Menurut Mohamad Fuzi lagi, pihaknya menahan keseluruhan 19 individu membabitkan lapan warga Malaysia dan 11 warga asing sejak 4 Julai lalu disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan.
Operasi tangkapan dilakukan di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor.
Antara yang ditahan pesara guru di Kelantan yang aktif mempromosikan kumpulan Daish melalui dua akaun Facebook miliknya.
Tambah beliau, dua beradik warga Iraq masing-masing berusia 41 dan 63 tahun yang bekerja sebagai juruteknik juga ditahan di Gombak.
Suspek dipercayai berperanan sebagai komander kumpulan pengganas Daish di selatan Iraq.
Kesemua 19 individu yang ditangkap akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 (Akta 747).