Polis gagalkan cubaan seludup karkas babi
Bernama
Mac 10, 2025 22:15 MYT
Mac 10, 2025 22:15 MYT
Polis mematahkan cubaan menyeludup masuk keratan karkas babi disyaki dari negara jiran selepas menahan seorang pemandu lori di Taman Industri Jaya, Skudai pada Jumaat lepas. - Foto hiasan/X/@bernamadotcom
ISKANDAR PUTERI: Polis mematahkan cubaan menyeludup masuk keratan karkas babi disyaki dari negara jiran selepas menahan seorang pemandu lori di Taman Industri Jaya, Skudai di sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata sepasukan polis dari cawangan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri telah menjalankan pemeriksaan ke atas lori berkenaan kira-kira 11.10 malam.
"Hasil pemeriksaan menemukan 90 keratan karkas babi disyaki diseludup dari negara jiran dan lelaki berusia 33 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan yang sah.
"JPV turut mengesahkan bahawa keratan karkas babi berkenaan bukan dari rumah sembelih yang diluluskan atau dilesenkan oleh jabatan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata pihaknya merampas keratan karkas babi berkenaan yang bersamaan 45 ekor babi, sebuah lori dan segugus kunci, anggaran nilai rampasan RM375,000.
"Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut. Siasatan dijalankan di bawah peruntukan Subkaedah 5(3) Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1953," katanya.
Beliau berkata sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.
-- BERNAMA