Polis diminta siasat penularan gambar KM P.Pinang berserta maklumat palsu

Bernama
September 22, 2019 08:04 MYT
Teh berkata, kenyataan palsu mengenai Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah mula disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp sejak Jumaat.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Teh Lai Heng pada Sabtu meminta pihak polis untuk menyiasat dalang di sebalik penularan gambar Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang berserta dengan maklumat palsu yang berunsur fitnah mengenai isu pemberian kad pengenalan (MyKad).
Teh berkata Ketua Menteri mahupun Kerajaan Negeri tidak pernah pada bila-bila masa, mengarahkan mana-mana pihak untuk mengeluarkan MyKad kepada mana-mana individu, apatah lagi golongan bukan warganegara.
BACA: JPN P. Pinang komited beri kerjasama dengan polis kes jual MyKad
Menurutnya kenyataan itu merupakan fitnah terhadap Ketua Menteri serta Kerajaan Negeri dan berniat untuk menjatuhkan imej serta nama baik pihak-pihak yang tidak bersalah.
"Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri jelas menghormati Perlembagaan Persekutuan di mana urusan kewarganegaraan adalah jelas di bawah bidang kuasa senarai Persekutuan, dan bukannya senarai sersama mahupun senarai negeri," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut sini pada Sabtu.
Beliau berharap pihak polis dapat menyiasat dengan lebih lanjut agar pihak yang bertanggungjawab terhadap penularan kenyataan itu akan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
BACA: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow nafi dakwaan tular berkenaan pemberian MyKad
Teh yang juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Komtar berkata kenyataan itu mengandungi gambar Chow dengan kenyataan "Ketua Menteri dan Kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai kuasa mutlak untuk mengurniakan MyKad kepada individu bukan warganegara dan orang luar diminta tidak mencampuri urusan kerajaan negeri."
Katanya, kenyataan palsu itu telah mula disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp sejak Jumaat.
BACA: Penolong Pengarah JPN dan 5 individu didakwa terlibat sindiket jual MyKad
Terdahulu, Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Yap Lee Ying turut menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan urusan kewarganegaraan adalah di bawah Senarai Persekutuan, bukan Senarai Bersama mahupun Senarai Negeri.
"Justeru, saya mewakili Ketua Menteri ingin menafikan sekeras-kerasnya fitnah pihak tidak bertanggungjawab ini yang jelas bertujuan untuk memburuk-burukkan imej serta nama baik Ketua Menteri dan kerajaan negeri," katanya.
-- BERNAMA
#bukan warganegara #Chow Kon Yeow #dalang #fitnah #Gambar tular #kad pengenalan #kerajaan negeri #Ketua Menteri #kuasa mutlak #laporan polis #maklumat palsu #menjatuhkan imej #mykad #pulau pinang #siasatan #Teh Lai Heng #undang-undang #WhatsApp
;