Polis diminta siasat audio percubaan 'kawtim' PDRM, SPRM

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 26, 2019 20:14 MYT
Setiausaha Pertubuhan Rangkaian Organisasi (Pro) 98 Reformis Perak, Sazali Samsudin berkata, siasatan perlu dilakukan bagi menjaga nama baik PDRM dan SPRM. - Foto Astro AWANI
Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menyiasat isu audio kononnya perbualan pembantu seorang Exco kerajaan negeri Perak cuba menyelesaikan kes dengan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia selepas laporan sebuah portal berita pada 15 Ogos lalu yang bertajuk 'Exco Perak nafi audio perbualan cuba ‘kautim’ polis, SPRM'.
Setiausaha Pertubuhan Rangkaian Organisasi (Pro) 98 Reformis Perak, Sazali Samsudin berkata, siasatan perlu dilakukan bagi menjaga nama baik PDRM dan SPRM.
“Pro 98 Perak meminta PDRM membuat siasatan segera dengan berkesan dan profesional kerana isu ini menjejaskan kewibawaan PDRM, SPRM yang dikaitkan dalam audio tersebut.
“Kami dapati audio ini diviralkan secara meluas kepada orang ramai. Ini sudah tentu akan memberi persepsi buruk sekiranya PDRM tidak bertindak menyiasat.
“Sekiranya siasatan ini tidak dijalankan, ketelusan PDRM akan terus dipertikaikan. Akibatnya akan turut memberi persepsi buruk terhadap kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, pada Isnin.
Pada 15 Ogos lalu, sebuah portal berita melaporkan Exco kerajaan negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari menafikan dakwaan tersebut.
Untuk rekod, pada 13 Julai lepas, bekas pegawai khas Abdul Yunus, Beh Yong Kean membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mendakwa exco itu membocorkan minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi tujuan mendapatkan komisen projek.
Abdul Yunus telah menafikan dakwaan tersebut, berkata ia konspirasi jahat untuk membunuh kerjaya politiknya kerana pendiriannya menyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti yang lalu.
Dalam mesej audio perbualan telefon itu, pemanggilnya memperkenalkan diri sebagai pembantu exco dan dikatakan bercakap dengan seorang pegawai polis untuk cuba membantu menyelesaikan kes tersebut.
#kawtim #PDRM #Polis Diraja Malaysia #Sazali Samsudin #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;