Polis dibenarkan guna akta dalam kajian kendali kes rusuhan kuil - Muhyiddin

Hilmi Malik
Disember 2, 2018 17:43 MYT
MUHYIDDIN: Kabinet setuju benarkan polis gunakan beberapa akta dalam kajian bagi mengendalikan kes rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman. - Astro AWANI/Fail
Kabinet bersetuju membenarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan beberapa akta dalam tempoh kajian bagi mengendalikan kes rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 di sini.
Antara akta terbabit termasuk Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA), Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dan Akta Hasutan 1948.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh jemaah menteri pada mesyuarat Kabinet Jumaat lalu.
"Dengan situasi yang berlaku ini maka Kabinet bersetuju supaya pihak polis dibenarkan bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada, walaupun sebahagiannya sedang dikaji dan diteliti.
"Ia (penggunaan akta itu) memberi kuasa penuh kepada pihak keselamatan bagi memastikan keselamatan awam dan kesejahteraan rakyat sentiasa terkawal," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke kuil terbabit hari ini.
BACA: SOSMA, POTA: Perlu ada, tapi akan dikaji semula - Muhyiddin
Terdahulu, beliau hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya bagi mendengar taklimat "Op Seafield" yang disampaikan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berhubung laporan terkini kejadian rusuhan di kuil berkenaan.
Sebelum ini, Kerajaan menyatakan hasrat untuk memansuhkan Akta SOSMA yang dilihat tidak telus bagi memberi keadilan kepada semua rakyat.
Beberapa jawatankuasa khas telah dibentuk bagi mengkaji semula akta tersebut.
Setakat ini, tiada sebarang keputusan berhubung pemansuhan itu dibuat.
#akta hasutan #KDN #keselamatan #kuil sri maha mariamman #Muhyiddin Yassin #PDRM #POCA #pota #rusuhan kuil #SOSMA #Subang Jaya
;