Polis dibenar pintas komunikasi jika ada unsur salah - Nancy Shukri

Bernama
Jun 16, 2014 21:03 MYT
Polis dibenar pintas komunikasi jika ia mempunyai unsur salah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.
Pihak polis dibenar memintas sesuatu komunikasi jika mendapati ia mempunyai unsur yang berkaitan dengan sesuatu kesalahan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.
Beliau berkata pendakwa raya diberi kuasa mengikut Seksyen 116C Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan pintasan dilakukan pihak polis.
"Pintasan komunikasi tersebut adalah termasuk memintas, menahan dan membuka apa-apa barang pos dalam penghantaran melalui pos; memintas apa-apa mesej yang dihantar atau diterima oleh apa-apa telekomunikasi; atau memintas, mendengar atau merekodkan apa-apa perbualan dengan telekomunikasi," katanya.
Nancy berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Kluang) berkaitan bilangan kes yang dibenarkan Pendakwa Raya untuk memintas e-mel, telekomunikasi dan pos mengikut pecahan ahli politik, suspek jenayah dan orang awam dari 1998 hingga 2014 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata peruntukan sama terkandung dalam seksyen 27A Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Seksyen 11 Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Seksyen 43 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan Seksyen 6 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Mengulas jumlah kes pintasan komunikasi, Nancy berkata sejak 2009, tiada pintasan yang melibatkan ahli politik dilakukan.
"Pintasan komunikasi dipohon semasa proses risikan serta siasatan oleh pihak polis dan penguatkuasa undang-undang yang lain.
"Permohonan kebiasaannya tidak merujuk kepada mana-mana subjek tertentu tetapi lebih kepada komunikasi yang perlu dipintas bagi tujuan memperoleh maklumat dan keterangan yang perlu bagi tujuan risikan dan siasatan jenayah," katanya.
#Jabatan Perdana Menteri #komunikasi #Nancy Shukri #pintasan komunikasi
;