Polis dibenar guna budi bicara bagi had perjalanan 10 km
Astro Awani
April 3, 2020 16:48 MYT
April 3, 2020 16:48 MYT
Polis dibenar menggunakan kuasa budi bicara terhadap larangan menghadkan perjalanan dalam lingkungan 10 kilometer (km) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, kelonggaran diberikan kepada individu yang mempunyai sebab tertentu termasuk membeli makanan dan mendapatkan perkhidmatan perubatan.
"Sebagai contoh, kita benarkan membeli makanan. Kalau makanan itu tidak ada dalam 10 kilometer, tentu sahaja mereka mereka keluar untuk membeli makanan di kawasan luar 10 kilometer yang terhampirm atau dalam 11 kilometer, kita benarkan," katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Dalam masa sama, kata beliau, sebelum ini perjalanan antara negeri tidak dibenarkan, namun atas budi bicara polis, individu dibenarkan keluar ke negeri yang bersempadan jika ada sebab yang memerlukan.
"Walaupun berlaku perjalanan negeri ke negeri, polis diberi kuasa budi bicara. Semalam ada individu ingin keluar dapatkan ubat sebab hospital lebih 10 kilometer, jadi dia batal hasrat ke hospital sedangkan kesihatan perkara utama.
"Sehingga PKP, jika melibatkan kesihatan, lebih 10 kilometer, polis diberi kuasa budi biacra membenarkan perjalanan pihak terlibat," kata beliau lagi.
Sehubungan itu, Ismail Sabri mengingatkan semua pihak agar mematuhi peraturan ditetapkan demi keselamatan dan kesihatan orang ramai.
#COVID19
#Hospital
#keselamatan
#kesihatan
#Media
#menteri
#perintah kawalan pergerakan
#perubatan
#polis