Polis dan JAIPk kerjasama bendung kegiatan salahi akidah di Perak

Bernama
Februari 10, 2022 17:03 MYT
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, perkara itu sedang dalam siasatan. - Bernama
IPOH: Polis akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi membendung satu kegiatan yang dikenal pasti menyalahi akidah di negeri itu, kata Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
"Isu ini kita telah bincang dengan JAIPk. Saya tidak boleh dedahkan maklumat terperinci, kerana ia dalam siasatan. Kenyataan penuh akan dikeluarkan JAIPk. Memang kita ada kenal pasti kegiatan menyalahi akidah. JAIPk akan dedahkan nanti," katanya ringkas dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri hari ini.
Beliau ditanya mengenai pendedahan Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin semalam bahawa penyebaran ajaran meragukan itu berselindung atas faktor ekonomi bagi mengembangkan pengaruh.
Mohd Yusop dilapor berkata, ajaran tersebut timbul dengan mengambil kesempatan dalam situasi pandemik yang sedang melanda negara dan keadaan rakyat terhimpit masalah ekonomi.
Dalam pada itu, Mior berkata operasi membendung kegiatan judi dalam talian dan serangkai dengannya akan terus diperhebat bagi memastikannya dapat dihapuskan dengan mensasarkan premis dan sindiket yang masih beroperasi di negeri ini.
Jelasnya, sebanyak 1,810 operasi berkaitan, telah dijalankan tahun lepas di seluruh negeri membabitkan 2,363 tangkapan meliputi pelbagai kegiatan antaranya loteri haram, judi dalam bangunan, judi tempat awam dan mesin perjudian.
"Antara kejayaan utama pada tahun lepas adalah tiga sindiket pusat panggilan dan judi dalam talian telah berjaya ditumpaskan dan dituduh di mahkamah," katanya.
-- BERNAMA
#polis #JAIPk #salah akidah #ajaran agama
;