Polis cuba rungkai punca lelaki ditemui rentung dalam kereta
Ruzaini Zulkepli
April 4, 2018 19:01 MYT
April 4, 2018 19:01 MYT
Seorang lelaki ditemui rentung selepas disyaki terperangkap di dalam kenderaannya yang terbakar di Jalan Tomis Lokos, Tamparuli-Ranau, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi tadi, mangsa yang identitinya masih di kenalpasti sudah dibawa ke Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut.
Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi berkata, siasatan menyeluruh kini giat dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan pihaknya setakat ini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
"Kira-kira jam 7.30 pagi tadi, kita telah menerima panggilan daripada orang awam mengatakan di tempat kejadian terdapat sebuah kereta jenis Perodua Myvi telah terbakar di tepi jalan dan di dalamnya terdapat mayat (mangsa) yang telah rentung terbakar.
"Bertindak atas makluman tersebut, sepasukan polis dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bergegas ke tempat kejadian di mana setibanya di lokasi, kenderaan tersebut telah hangus terbakar dan terdapat mayat mangsa yang telah hangus terbakar di dalamnya," katanya.
Beliau berkata, mayat lelaki itu sudah dibawa ke Hospital Tuaran untuk proses bedah siasat dan pihak polis sedang menyiasat untuk mengenal pasti motif dan punca kejadian ini.
"Setakat ini siasatan kategori mati mengejut dijalankan.
"Pihak polis menyeru mana-mana individu atau saksi yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian ini dapat menghubungi IPD Tuaran di talian 088-791933 untuk membantu siasatan," katanya.
#bomba
#Dzulbaharin Ismail
#kereta
#lelaki
#mangsa
#mati
#mayat
#Perodua
#polis
#rentung
#siasatan
#Tuaran