Polis catat keterangan pihak taska atas kematian bayi usia 4 bulan
Aizat Sharif
Januari 5, 2014 09:00 MYT
Januari 5, 2014 09:00 MYT
Polis telah mengambil keterangan dari pihak taska di Desa Pinggiran Putra berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan ketika dalam jagaan pihak taska tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, DSP Zaldino Zaludin berkata tiada sebarang tangkapan suspek dilakukan namun pihaknya masih lagi menantikan laporan perubatan dari Hospital Putrajaya yang dijangka akan dikeluarkan kira-kira dua minggu lagi.
“Keterangan pihak taska telah kami peroleh semalam (Jumaat) dan kami juga telah berhubung dengan Pegawai Kebajikan Daerah Sepang mengenai perkara tersebut,” katanya pada Sabtu.
Khamis lalu, seorang bayi lelaki berusia empat bulan didapati meninggal dunia ketika ibu bapanya mahu mengambilnya dari sebuah taska di Desa Pinggiran Putra.
Malah, pengasuh taska berkenaan juga turut tidak menyedari bahawa bayi tersebut, Azeem Rifhan telah meninggal dunia kerana menyangka sedang tidur nyenyak.
Menurut ibu bayi malang itu, Rossmaine Sulaiman, 38, kejadian berlaku ketika dia dan suaminya mahu mengambil anaknya itu kira-kira jam 2.15 petang selepas waktu mereka bekerja.
“Ketika memegang anak saya, saya rasakan tubuhnya sejuk, tangannya pula keras dan tiada langsung menunjukkan sebarang tindak balas dan tanpa berlengah saya dan suami terus bergegas ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan lanjut,” kata Rossmaine.
Namun, bayi tersebut gagal diselamatkan meskipun cuba diberi bantuan pernafasan oleh doktor.
“Saya menghantar anak saya ke taska itu dalam keadaan sihat tetapi sebaliknya pula berlaku akhirnya dan cubaan saya untuk bertanyakan perkara tersebut kepada pemilik taska pula gagal apabila talian telefonnya dimatikan,”.