Polis cari waris wanita mangsa bunuh dengan tatu 'Im Lee'
Umavathi Ramayah
Januari 4, 2021 16:45 MYT
Januari 4, 2021 16:45 MYT
SUBANG JAYA: Polis sedang mengesan waris seorang wanita yang ditemukan mati dengan kesan lebam disyaki dipukul dengan senjata tumpul di tepi Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman, di sini pada 13 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman meminta ahli keluarga yang mengecam tatu tertulis ‘Im Lee’ beserta lukisan berbentuk rama-rama pada bahagian belakang bahu sebelah kiri mangsa supaya tampil membantu membuat pengesahan identiti.
Katanya, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat kecederaan parah akibat dipukul dengan senjata tumpul.
"Mayat ini ditemukan oleh orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 7 pagi, hari kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Abd Khalid memberitahu, ketika ditemukan mangsa lengkap berpakaian dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri.
"Usaha untuk mengenalpasti identiti mayat tersebut masih dijalankan," katanya yang memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superitendan Mohd Mazhar Malik, di talian 013-5908025 atau 03-56210343 dengan segera.
#Ketua Polis Negara
#Polis Diraja Malaysia
#waris keluarga
#302 Kanun Keseksaan
#senjata tumpul
#Abd Khalid Othman
#wanita bertatu