Polis cari suspek kes tetak bekas isteri dengan golok di bank

Bernama
Ogos 13, 2019 15:46 MYT
DSP Wan Fauzi Wan Ishak menunjukkan fotofit suspek berusia 50-an yang diburu polis kerana terlibat dalam kes tetak bekas isterinya menggunakan sebilah golok di hadapan sebuah bank, di Kuala Krai pada 1 Ogos lalu. - Foto Bernama
Polis sedang mengesan seorang lelaki warganegara Pakistan, Sultan Amir Najeem, 50an, yang dipercayai menetak bekas isterinya menggunakan sebilah golok di hadapan sebuah bank di sini, pada 1 Ogos lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Wan Fauzi Wan Ishak berkata serbuan ke atas rumah rumah suspek di Machang mendapati lelaki itu telah melarikan diri.
"Selepas menetak bekas isterinya dan suami baharu mangsa, suspek tidak pulang ke rumahnya namun kami percaya suspek masih berada di negeri ini dan usaha mencarinya masih giat dijalankan.
"Susulan itu kami memohon orang ramai menyalurkan maklumat untuk menjejaki suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini, hari ini.
Wan Fauzi berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan senjata.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 48 tahun parah ditetak oleh bekas suami mangsa berikutan suspek yang cemburu selepas wanita berkenaan berkahwin pada April lepas.
Suami mangsa berusia 45 tahun turut cedera di jari dan lengan berikutan berlaku pergelutan ketika menyelamatkan isterinya.
-- BERNAMA
#gunakan sebilah golok #Pakistan #Sultan Amir Najeem #suspek #suspek diburu #tetak bekas isteri #warganegara Pakistan
;