Polis cari remaja 14 tahun pandu kereta bawa dua adik

Sinar Harian
Julai 29, 2024 11:42 MYT
Pada Isnin, tular satu rakaman video memaparkan seorang remaja yang dikatakan memandu kereta dengan membawa dua adiknya di sebuah kawasan perumahan.
KUALA LUMPUR: Polis menyiasat rakaman video tular seorang remaja lelaki memandu kereta dengan membawa dua kanak-kanak di sebuah kawasan taman perumahan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semakan laporan sedang dibuat dengan semua ketua trafik kontinjen negeri.
"Kita sedang kenal pasti lokasi kejadian selain akan kesan keluarga kanak-kanak terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Isnin, tular satu rakaman video berdurasi 1 minit 49 saat, memaparkan kejadian di waktu malam itu.
Berdasarkan rakaman itu, seorang wanita telah menahan kereta jenis Perodua Viva dipandu remaja lelaki yang didakwa berusia 14 tahun serta dua lagi kanak-kanak dipercayai adiknya.
Dalam rakaman awal itu, kereta dipandu remaja itu agak laju ketika melalui bonggol di hadapan sebuah rumah sebelum ditahan wanita terbabit agar memberhentikan kenderaan itu.
Wanita terbabit juga memaklumkan mahu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. - Sinar Harian
#video tular #pandu kereta laju #remaja bawa adik naik kereta #polis