Polis cari pemandu kereta plat Singapura dipandu melulu
Siti Nur Aqilla Omar
April 5, 2022 16:20 MYT
April 5, 2022 16:20 MYT
KOTA TINGGI: Polis sedang mengesan pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura yang dipandu secara melulu dan berbahayak di Simpang lampu isyarat Felda Gugusan Adela dari Sungai Rengit menghala ke Bandar Penawar di sini.
Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata kejadian dikesan berlaku pada Ahad (3 April) dan dirakam orang awam sebelum dimuat naik di laman Facebook 'pen hitam' dan tular di media sosial.
Katanya pihak polis mengesan video tular pada semalam, lebih kurang jam 2.30 petang yang berdurasi 41 saat.
"Video itu memaparkan sebuah kereta berwarna emas yang dipandu dalam keadaan berbahaya dengan cara memotong kenderaan lain secara melulu, dan boleh menyebabkan kemalangan.
"Susulan rakaman itu, pihak polis bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Kota Tinggi membuka kertas siasatan dibawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis menasihati orang ramai supaya tidak memandu kenderaan dan melakukan aksi-aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain," katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Rakaman video tular itu antara lain memaparkan sebuah kereta mewah berwarna emas yang bernombor pendaftaran Singapura dan dipercayai dipandu warga republik itu, memotong kenderan lain di atas jalan raya secara bahaya.
Malah turut kelihatan beberapa buah kenderaan lain yang juga bernombor pendaftaran Singapura dipandu laju di dalam video terbabit.