Polis cari pemandu Iriz biru berhenti mengejut tengah MRR2

Sinar Harian
Januari 6, 2024 17:45 MYT
Siasatan mendapati pemandu kenderaan itu bertindak memperlahankan kenderaan serta berhenti selama beberapa saat sebelum kembali bergerak meneruskan perjalanan. - Foto ihsan pembaca
GOMBAK: Aksi samseng pemandu sebuah kereta yang bertindak memberhentikan kenderaannya secara mengejut di tengah jalan di Kilometer 13, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) baru-baru ini mengundang padah apabila individu terbabit kini diburu polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan dijalankan berdasarkan insiden berkenaan yang dikesan tular menerusi satu aplikasi media sosial pada Sabtu.
"Siasatan mendapati kenderaan jenis Proton Iriz berwarna biru itu dipandu dari arah Batu Caves menghala ke Ampang sebelum pemandunya bertindak memperlahankan kenderaan serta berhenti selama beberapa saat sebelum kembali bergerak meneruskan perjalanan.
"Tindakan pemandu terbabit membuat halangan boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, pemandu kenderaan terlibat serta pemilik kamera papan pemuka yang merakam kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan.
"Polis meminta agar individu terlibat segera tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Pada Sabtu, tular video memaparkan sebuah kereta yang dipandu secara melulu sebelum kenderaan tersebut dilihat berhenti di tengah jalan.
Kejadian berkenaan yang dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan itu kemudiannya didapati tular di media sosial.
Video berdurasi 27 saat itu turut mengundang kecaman orang ramai yang rata-ratanya meminta agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan berhubung kejadian terbabit.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#pemandu Iriz biru diburu #berhenti tengah jalan #Jalan Lingkaran Tengah 2 #Polis Daerah Gombak
;