Polis cari pemandu Ford Ranger parkir kereta tepi jalan halang laluan

Astro Awani
Mac 22, 2024 22:40 MYT
Polis sedang giat menjalankan usaha mengesan pemandu kenderaan yang terbabit dalam kejadian menghalang laluan di Jalan Persiaran Tropicana, Petaling Jaya itu. - Foto media sosial
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang sengaja meletakkan kenderaan di lorong kiri Jalan Persiaran Tropicana, Petaling Jaya tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja'afar, pihaknya mengesan kejadian itu tular di media sosial jam 6 petang, pada Jumaat.
"Siasatan awal mendapati pemandu terbabit dengan sengaja meletakkan kenderaannya di tepi jalan walaupun seorang pengguna jalan raya telah membunyikan hon.
"Polis sedang giat menjalankan usaha mengesan pemandu kenderaan terbabit dengan kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan lewat semalam.
Mengulas lanjut, Shahrulnizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor M Sivam di talian 017-3290749.
"Polis menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya tidak melanggar undang-undang jalan raya sehingga menyusahkan dan memudaratkan pengguna jalan raya yang lain," ujarnya.
#media sosial #Petaling Jaya #polis #halang laluan