Polis cari empat lelaki bantu siasatan kes bunuh

Bernama
Oktober 18, 2014 02:55 MYT
MOHD ADNAN: Sasindran, 28, dicari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pengawal keselamatan di Seksyen 15.
Polis Selangor sedang mengesan empat lelaki, termasuk dua warga Myanmar, bagi membantu siasatan empat kes bunuh di negeri itu sejak Jun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata mereka terdiri daripada rakyat tempatan K.Sasindran, warga Bangladesh Md Jahangir Hossain, dan dua warga Myanmar Kyaw Kyaw Linn dan Rashnu, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Beliau berkata Sasindran, 28, dicari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pengawal keselamatan di Seksyen 15 di sini, manakala Md Jahangir, 36, pula dikehendaki untuk kes bunuh di Hulu Yam Baharu, Hulu Selangor.
"Kyaw Linn, 30, pula dicari bagi membantu siasatan kes bunuh di Batu 9, Puchong dekat sini manakala Rashnu, 46, pula dikehendaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga India di Ijok, Bestari Jaya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Khamis.
Mohd Adnan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Sasindran boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Lai Lee Pen di talian 018-241-8249 dan menghubungi Inspektor Ahmad Safie di talian 013-6049549 untuk Md Jahangir.
Bagi maklumat mengenai Kyaw Linn, orang ramai boleh menghubungi ASP Shaizal Md Som di talian 012-2631696 dan Inspektor Muhamad Rozaini di talian 012-2398705 sekiranya mempunyai maklumat mengenai Rashnu.
"Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
#bunuh #jenayah #Mohd Adnan Abdullah #polis