Polis cari dua lelaki disyaki bakar pejabat di Wisma Cosway

Bernama
Mei 22, 2016 08:00 MYT
Kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan, memakai topi, jaket dan topeng mulut serta menaiki kereta Honda City berwarna kelabu ke bangunan itu. - Foto sumber Wikipedia fail
Polis sedang mencari dua lelaki yang disyaki melakukan khianat dengan membakar sebuah pejabat di Wisma Cosway, Jalan Raja Chulan di sini, pada pagi Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata pihaknya menerima laporan kebakaran di hadapan pejabat Peguam Wong & Chua Advocates & Solicitor di bangunan itu pada 7 pagi semalam.
"Susulan itu, pusat kawalan kemudian mengarahkan kereta peronda ke lokasi berkenaan bersama-sama tiga jentera bomba dari Balai Bomba Pudu, Jalan Hang Tuah dan Forensik Bomba dari Sri Rampai," katanya dalam kenyataan malam Sabtu.
Siasatan forensik menemukan sebuah tong berwarna biru, satu pemetik api dan satu batang besi kuku kambing dipercayai digunakan untuk membakar pejabat itu.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan, memakai topi, jaket dan topeng mulut serta menaiki kereta Honda City berwarna kelabu ke bangunan itu.
"Suspek kemudian naik ke tingkat lima menggunakan lif dan membawa satu tong disyaki minyak tanah dan sebatang besi kuku kambing lalu meletakkan tong itu di hadapan pejabat berkenaan.
"Sejurus tiba di hadapan pejabat itu, suspek menyalakan api menggunakan sebuah botol kaca berisi minyak lalu membaling botol itu ke pintu pejabat sebelum melarikan diri menggunakan lif," katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.
#bakar pejabat #kebakaran #PDRM #polis #Wisma Cosway #Zainuddin Ahmad
;