Polis cari dua individu bagi bantu siasatan kes bunuh Kevin Morais
Hakim Rahman
September 20, 2015 18:06 MYT
September 20, 2015 18:06 MYT
Polis menyiarkan dua gambar individu yang sedang dicari bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, berkata individu pertama dikenali sebagai M Vishwanath, 25, yang alamat terakhirnya di Taman Desa Karangan, Sungai Karangan, Kedah.
"Seorang lagi individu yang dicari dikenali sebagai R Dinishwaran, 23, yang alamat terakhirnya di Estet Batu Pekaka, Kedah.
"Kedua-duanya mereka amat dikehendaki polis kerana dipercayai dapat membantu membantu siasatan kita berhubung pembunuhan Morais," katanya.
Polis bagaimanapun tidak mendedahkan penglibatan kedua-dua individu berkenaan dalam kes pembunuhan Morais.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedua-dua individu berkenaan diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Wan Abdullah di talian 012 3842737
Sehingga kini polis telah menahan reman enam suspek bagi membantu siasatan.
Mayat Kevin Morais dijumpai dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya, pada 16 September lalu, selepas salah seorang daripada tujuh suspek membawa polis ke lokasi tong itu di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.
Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 Sept lepas selepas kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.
Pihak polis percaya pembunuhan Morais mungkin bermotifkan balas dendam berhubung perbicaraan yang dikendalikannya yang melibatkan seorang doktor di hospital tentera.
Doktor berumur 52 tahun itu adalah antara tujuh suspek yang sedang direman berhubung kes pembunuhannya.