Polis buru suspek warga asing letupkan kedai emas

Ruzaini Zulkepli
Januari 14, 2019 10:48 MYT
Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai identiti mereka untuk tampil segera menyalurkan maklumat.
Polis Sabah kini memperhebatkan usaha memburu tiga suspek warga asing termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat secara langsung dalam kejadian meletupkan sebuah kedai emas di Segama pada 31 Disember, tahun lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, foto fit ketiga-tiga suspek sudah diedarkan dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai identiti mereka untuk tampil segera menyalurkan maklumat.
Gambaran tiga suspek berusia 30-an yang dikenali sebagai Lani, Aris dan Siti itu berjaya diperolehi susulan penahanan seorang suspek sebelum ini.
"Kita minta bantuan orang awam untuk menyalurkan maklumat sekiranya mereka terserempak dan tahu di mana suspek ini berada," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, pada Isnin.
Beliau berkata, susulan daripada kejadian yang berlaku pada jam 2.30 pagi itu, polis berjaya menahan seorang lelaki asing berumur 22 tahun pada 2 Januari dan seorang lelaki tempatan berumur 64 tahun.
Jelasnya, kedua-dua suspek mendapati ada tiga lagi rakan mereka yang terlibat dalam kes ini dan masih bebas.
Omar berkata, susulan dengan penahanan dua suspek, polis berjaya merampas beberapa peralatan yang difahamkan digunakan oleh kumpulan itu untuk meletupkan kedai tersebut termasuklah bahan sodium dan baja urea yang digunakan untuk mengebom ikan.
"Suspek kedua yang berumur 64 tahun ini bekerja sebagai nelayan," katanya.
Terdahulu, dalam kejadian berkenaan, kumpulan tersebut difahamkan dalam cubaan memecah masuk salah sebuah premis kedai emas di situ.
Bagaimanapun, penjenayah terbabit gagal untuk memasuki premis berkenaan walaupun pintu berjaya dipecahkan, serta tiada barangan kemas dilaporkan hilang.
#Aris #kedai emas #Lani #letup #Polis Sabah #Sabah #segama #Siti #tiga suspek #warga asing